Posted by Gomoto Media

Setiap kenderaan berkuasa memerlukan suatu kaedah pemacuan bagi mengalihkan kuasa dan tork daripada enjinnya kepada jalan agar kenderaan tersebut dapat bergerak. Contohnya, syaf ke roda depan atau gandar belakang pada kereta, syaf ke kipas kapalterbang, dan sebagainya. 

Untuk motosikal pula, terdapat tiga jenis pacuan iaitu rantai, syaf, dan tali sawat (belt). Tetapi rantailah yang merupakan kaedah pacuan yang paling popular kerana terdapat lebih banyak kebaikkan berbanding dengan keburukkan.

 

Latarbelakang rantai pacuan

Motosikal berkuasa enjin yang pertama direka pada tahun 1868 dan ia menggunakan rantai untuk memacu rodanya. Oleh itu, kita boleh katakan rantai motosikal sudah berusia 154 tahun.

Syarikat RK Takasago Chain pun sudah bertapak semenjak 1932 dan mula membuat rantai basikal pada 1945.

Cara rantai pacuan berfungsi

Istilah teknikal untuk rantai motosikal ialah ‘linked-chain’ iaitu rantai bersambung. Ia kerana suatu rantai itu sebenarnya merupakan beberapa bahagian yang disambung untuk menjadikan sebuah rantai yang panjang.

Kelegaan (lubang) di antara setiap sambungan memuatkan gigi sproket. Apabila sambungan rantai itu muat ke dalam sproket depan, kuasa daripada enjin dan kotak gear dialihkan kepada sambungan rantai itu, dan ia menarik rantai dan seterusnya sproket yang dipasang pada roda belakang.

Kaedahnya sungguh mudah. Sebab inilah pacuan aci sesondol (‘camshaft’) juga menggunakan rantai.

Jadi apakah kelebihan rantai pacuan berbanding dengan kaedah pacuan yang lain?

1. Mudah untuk menukar nisbah gear

Inginkan ‘pick-up’ yang lebih kuat? Atau anda hendak capai ‘top-speed’ yang lebih tinggi? Atau anda hanya mahu tindakbalas ‘throttle’ yang lebih lancar? Kaedah paling mudah ialah dengan menukar nisbah gear terakhir, iaitu saiz sproket belakang atau/dan sproket depan.

Cara untuk menukar sproket sungguh mudah, apa lagi kerana rantai dan sproketnya agak terdedah dan tidak berada di dalam suatu penutup. Ini merupakan faktor utama kenapa motosikal perlumbaan menggunakan rantai.

2. Mudah untuk diselenggara

Rantai dan sproket senang diselenggara kerana ia terdedah, maksudnya ia senang dibersihkan dan diminyakkan. Kita juga dapat melihat rantai yang kotor serta kondisi rantai berbanding dengan ‘belt’ dan syaf yang diselindungi.

3. Tahan kotoran dan air

Rantai yang kotor seperti pada motosikal lasak (‘off-road’) masih akan berjalan memindahkan kuasa enjin.

Begitu juga rantai yang sudah rosak: Ia masih menjalankan fungsinya selagi sproket masih ada gigi.

Sebaliknya, ‘belt’ disorok kerana belt yang kotor akan cepat rosak dan putus. Bagi pacuan syaf pula, ia menggunakan sistem gear dan gear-gear ini akan rosak jika terkena kotoran. Sebab inilah sistem pacuan syaf dipasang di dalam kebuk. 

4. Lebih ringan kerana ringkas

Sistem pacuan rantai lebih ringan dan pengguna pun boleh gunakan rantai serta sproket yang lebih ringan bagi mengurangkan inersia.

Gambar ehsan motores.com

5. Dapat menyerap kuasa enjin, daya kejutan, daya inersia yang tinggi

Rantai pemacu dapat menyerap kuasa enjin yang tinggi. Selain daripada itu, ia juga dapat menyerap daya kejutan yang dihasilkan daripada tujahan secara tiba-tiba, daya membrek yang mengejut, serta pergerakan suspense yang kadang-kadang ekstrim seperti pada motosikal motocross (suspensi terlunjur sepenuhnya ketika melompat, dan termampat bila mendarat). Oleh itu, rantai RK siri ZXW mempunyai kekuatan tegangan di antara 42kN (4284kg) ke 49.8kN (5078kg), bergantung kepada saiz rantai.

Kekuatan ini (selain faktor lain yang tertera di atas) membuatkan pelumba-pelumba ‘dragster’ (sprint) kelas Top Fuel memilih rantai pacuan berbanding syaf atau tali sawat. Enjin motosikal lumba jenis ini menggunakan bahan api nitromethane dan menghasilkan 1,500hp.

Sesebuah motosikal dragter kelas Top Fuel boleh memecut ke 18m (60 kaki) dalam kurang daripada 1 saat, dan dapat sampai ke garisan tamat 400m dalam 5.7 saat pada kelajuan yang menjangkau 370km/j! Tetapi setakat itu sahaja, kerana motosikal itu harus diperlahankan sebaik sahaja ia melampaui garisan penamat. 

Prestasi seperti ini memindahkan daya yang amat ekstrim kepada rantai. Justeru rantai RK 530 PRO-DR untuk perlumbaan dragster mempunyai kekuatan tegangan 52.3kN (5333kg).

Sebagai perbandingan, tali sawat boleh dibuat sekuat-kuatnya untuk menampung kuasa ini tetapi ia akan menjadi terlalu berat. Syaf pula senang terpulas dan patah jika tidak cukup kuat, dan cara untuk menguatkan ialah dengan membuatkan ia serta gear-gear pacuannya lebih tebal dan berat.

Kesimpulan

Rantai motosikal kelihatan ringkas tetapi rantai yang berkualiti seperti RK/RK-M Takasago Chain merupakan hasil kejuruteraan yang jitu. Penyelidikan dan pembagungan masih diteruskan dengan intensif bagi menghasilkan rantai yang lebih baik walaupun prinsip fungsinya tidak berubah.