Posted by Gomoto Media

Kelikatan minyak hitam selalu menjadi tajuk perbualan, apa lagi kerana cuaca negara kita yang panas. Selain daripada itu, motosikal-motosikal baharu yang menggunakan enjin yang memenuhi piawaian emisi terbaharu seperti Euro 5 mempunyai suhu operasi yang lebih tinggi - dalam erti lain, enjin lebih panas.

Di manakah kita mencari kelikatan minyak?

Gred kelikatan, contohnya 10W/40, 15W/50, dan sebagainya ditentukan melalui ujian yang telah dirumuskan oleh Society of Automotive Engineers (SAE) atau dalam Bahasa Melayu, Persatuan Jurutera Automotif.

Angka di depan huruf "W" tidak berkenaan dengan cuaca kita kerana ia disukat pada suhu 0-darjah Celsius iaitu bila air membeku. Jadi kita hanya rujuk kepada nombor yang kedua seperti 40, 50, 60.

Nombor yang lebih besar menunjukkan minyak yang lebih likat (pekat).

Apakah kesan haba kepada minyak?

Minyak, seperti mana-mana cecair akan menjadi lebih cair apabila dipanaskan. Minyak dengan gred kelikatan yang lebih rendah akan mencair dengan lebih cepat.

Perkaran yang penting di sini ialah minyak tidak boleh menjadi terlalu cair apabila sudah sampai suhu operasi enjin agar ia dapat melindungi komponen-komponen di dalam enjin.

Apa berlaku jika kita guna yang lebih cair?

Oleh itu, ia mempunyai rintangan dalaman (internal resistance) yang lebih rendah. Kerana ini, enjin motosikal boleh diligatkan (rem) dengan lebih cepat. Dalam erti lain, motosikal boleh pecut dengan lebih cepat.

Apa berlaku jika kita guna yang lebih likat?

Minyak yang lebih likat memerlukan haba yang lebih tinggi atau masa yang lebih lama untuk dicairkan. Hasilnya, rintangan dalamannya lebih tinggi.

Oleh itu, tindakbalas enjin lebih perlahan apabila diligatkan. Hasilnya, pecutan motosikal lebih perlahan.

Yang mana lebih tahan?

Secara amnya, minyak yang lebih likat tahan lebih lama. Namun, itu bukan sesuatu yang sudah pasti kerana ia bergantung kepada formulasi minyak.

Selain daripada itu, minyak yang lebih cair bukan bermaksud ia akan menjadi terlalu cair atau tidak tahan lama, kerana semuanya bergantung kepada formulasi additive di dalam sesuatu minyak. Sebab inilah ada minyak yang lebih lebih cair tahan lebih lama daripada minyak yang lebih likat.

Tiada cara lain untuk mengetahui yang mana sesuai kecuali kita mencuba sesuatu minyak itu sendiri.

Apapun, nasihat kami ialah tukarlah minyak hitam apabila sudah tiba masanya.