Posted by Gomoto Media

Kami pernah nampak ada pertanyaan apakah perbezaan minyak 2T dan 4T di dalam media sosial.

Kedua-dua ini merupakan minyak pelinciran enjin, tetapi bagi kegunaan jenis enjin yang berbeza.

Apakah enjin 2T dan enjin 4T?

Ingin kita ingatkan di sini enjin istilah "lejang" BUKAN bermaksud jumlah piston enjin. "Lejang (stroke)" dalam subjek automotif bermaksud pergerakan piston, samada naik atau turun di dalam silinder enjin.

Jadi, sesebuah enjin 2 lejang menggunakan dua gerakan piston bagi memenuhi fungsi kemasukan bahanapi, memampat bahanapi itu, membakarnya, dan mengeluarkan gas yang telah dibakar, manakala enjin 4 lejang menggunakan 4 gerakan piston. Sebab inilah tiada istilah 1 lejang (1 stroke) untuk enjin silinder/piston tunggal atau 3 lejang (3 stroke) untuk enjin 3 silinder/piston!

Minyak 2T

Minyak 2T ialah minyak pelincir bagi enjin 2 lejang (2-stroke). Enjin 2 lejang berbunyi nyaring apabila diligatkan... seperti Y125ZR, Ninja 150RR, dll.

Minyak 2T diletakkan di dalam sebuah tangki yang berasingan. Minyak itu kemudiannya dipam ke enjin dan dicampur dengan petrol serta udara untuk dibakar. Dahulunya minyak 2T dicampur terus di dalam tangki petrol.

Minyak 4T

Seperti aturan di atas, minyak 4T ialah untuk kegunaan enjin 4 lejang. Minyak itu dimasukkan ke dalam takungan minyak (selalunya di bawah enjin kecuali moto Harley-Davidson) dan ia dipam ke seluruh enjin. Ia tidak dibakar bersama dengan petrol.