Posted by Gomoto Media

Kami pernah menemui komen di mana seorang mekanik/pemilik motosikal yang menuangkan petrol ke dalam takungan minyak enjin motosikal untuk mencuci (flush) minyak enjin lama.

Ini merupakan sesuatu yang tidak patut dibuat langsung kerana akan ada sisa minyak enjin yang tertinggal di dalam enjin sudah bercampur petrol, khususnya di kawasan atas enjin dan mana-mana ceruk kecil lagi. Apabila minyak baharu dimasukkan, ia akan bercampur pula dengan sisa ini dan minyak enjin itu akan rosak sebab petrol akan mencairkan minyak enjin!

Selain daripada itu, selaput minyak yang melincirkan bahagian-bahagian yang bergerak akan dibuang dan akan berlaku geseran di antara permukaan logam di semua komponen yang bergerak. Ini penting khususnya di antara gegelang piston dan silinder, permukaan di antara gear, permukaan pin piston, permukaan "roller" lengan jumpelang dan permukaan sesondol (cam lobe), permukaan bearing rod piston (jack rod) dan aci sesondol, dan banyak lagi.

Tambah lagi, petrol tidak mesra alam dengan getah dan gasket. Lambat-laun, gasket-gasket akan pecah dan minyak akan bocor.

Kita memang tidak akan rasa kerosakan ini semua pada mulanya tetapi percayalah, masalah akan timbul pada kemudian hari.

Oleh itu, JANGAN campurkan petrol di dalam minyak enjin.