Posted by Gomoto Media

Setiap enjin 4-lejang dilengkapi dengan penapis minyak enjin dan ia ditukar mengikut kala servis.

Apakah fungsi penapis minyak?

Seperti namanya, sebuah penapis minyak menapis minyak enjin dan memerangkap kotoran agar kotoran itu tidak disalurkan ke seluruh enjin bersama minyak.

Terdapat beberapa sumber kotoran:

  1. Habuk halus yang terlepas melalui penapis udara.
  2. Karbon yang dihasilkan daripada pembakaran bahanapi.
  3. Butir logam yang halus (kadang-kadang bersaiz mikroskopik) akibat geseran antara komponen di dalam enjin.

Bila patut tukar penapis minyak?

Penapis minyak sewajarnya ditukar setiap kali kita menukar minyak enjin. Penapis yang lama sudah tepu dengan kotoran serta minyak yang lama dan akan mengotorkan minyak yang baharu jika tidak ditukar.

Penapis yang sudah digunakan terlalu lama juga akan menyekat pergerakan minyak yang baharu. Ini akan menyebabkan enjin hilang kuasa, serta kehilangan pelinciran di dalam kes yang lebih ekstrim.