Posted by Gomoto Media

Salah satu mitos di kalangan sesetengah pemilik kenderaan ialah kita hendaklah tukar minyak enjin yang sudah menjadi hitam dengan serta-merta. Ini tidak seharusnya benar kerana ia bergantung kepada beberapa faktor:

1. Adakah minyak itu telah sampai masa untuk ditukar berasaskan jarak dan masa?

2. Adakah prestasi enjin berkurangan dengan mendadak sekarang?

3. Adakah penggunaan bahanapi bertambah?

Minyak enjin memainkan banyak peranan selain daripada hanya melincirkan bahagian-bahagian enjin. Ia juga hendaklah cekap daripada segi mencuci kotoran yang terhasil daripada pembakaran bahanapi. Kotoran ini seringnya berupa karbon dan abu. Minyak enjin akan memerangkap kotoran ini dan ditapis di dalam penapis minyak.

Selain daripada itu, minyak enjin juga berperanan untuk menyejukkan enjin. Haba yang tinggi akan menukarkan warna minyak kepada lebih gelap.

Oleh itu, jika jawapan anda ialah "tidak" bagi ketiga-tiga soalan di atas, minyak itu belum perlu ditukar. Tunggulah sehingga minyak itu sampai jarak servisnya seperti 3,000km atau 5,000km (bergantung kepada jenis minyak).