Posted by Gomoto Media

Marilah kita sambung siri perbincangan ini, dan kali ini, kita lihat pula subjek perbezaan di antara minyak jenis mineral, separa sintetik (semi-synthetic), dan sintetik penuh (fully sinthetic).

Kita sebagai pemilik motosikal hendaklah biasakan diri dengan fakta-fakta ini kerana informasi yang salah akan memudaratkan motosikal dan pendapatan kita.

Baca di sini: Apakah Maksud Gred Kelikatan Minyak Hitam?

Minyak asas

Minyak asas (base oil) merupakan "penghulu produk." Ia merupakan minyak yang belum dicampur dengan sebarang pakej tambahan (additives package). Minyak asas inilah yang memberikan produk yang kita beli seperti mineral, separa sintetik, atau sintetik sepenuhnya.

Minyak asas mineral

Minyak asas ini berasal daripada petroleum mentah yang digali daripada perut bumi. Petroleum mentah tidak boleh digunakan secara langsung setelah digali dan mesti disuling dahulu.

Petroleum itu dipanaskan di dalam satu menara pemanasan. Bahan-bahan yang mudah meruap seperti gas, gasolin (asas petrol), kerosin (minyak tanah) akan bergerak ke bahagian atas menara ini, di mana ia akan disedut keluar dan disejukkan kembali ke keadaan cecair.

Sementara itu, bahan-bahan yang lebih "berat" seperti minyak asas untuk pelinciran, minyak bahanapi untuk kapal, asfalt (tar yang digunakan untuk menerap jalanraya, dan sebagainya berada di bawah menara.

Hampir kesemua bahan yang telah disuling ini masih belum boleh digunakan untuk aplikasi permotoran. Mereka kemudiannya dicampur dengan bahan tambahan (additives) bagi menghasilkan produk muktamat yang dijual kepada pengguna.

Jadi, minyak enjin yang berasaskan minyak asas ini merupakan jenis mineral.

Minyak asas sintetik


Terdapat beberapa jenis atau kelas minyak asas sintetik, tetapi secara amnya, ia dihasilkan di dalam makmal agar mempunyai karakter minyak pelincir. Oleh yang demikian, minyak asas ini lebih bersih kerana tidak mempunyai beberapa bahan yang terdapat di dalam minyak mineral seperti belerang, karbon dan sebagainya.

Tambah lagi, para jurutera minyak dapat menghasilkan minyak asas dengan beberap ciri dari peringkat awal lagi seperti ketahanan kepada perubahan haba, pengekalan gred minyak dan sebagainya, walaupun sebelum dicampur dengan bahan tambahan lagi.

Beberapa sumber minyak asas sintetik termasuklah ester (daripada tumbuhan), menukarkan gas petroleum kepada cecair, serta menyuling lagi petroleum sehingga hampir tulen.

Minyak asas separa sintetik

Kita hanya berbincang mengenai separa sintetik (semi-synthetic) kerana ia merupakan campuran di antara minyak asas mineral dan sintetik sepenuhnya. Apapun, minyak separa sintetik hanya mempunyai maksimum 30% minyak sintetik penuh di dalamnya, dan selebihnya merupakan mineral.

Jadi, yang mana satu lagi baik?

Sudah tentunya minyak sintetik penuh lebih baik kerana secara amnya ia tahan lebih lama, memberikan perlindungan yang lebih baik, dapat mencuci enjin dengan lebih baik, dan kekal di dalam gred kelikatan untuk lebih lama. Sebab itulah ia lebih mahal. Ia lebih mahal bukan kerana faktor pemasaran (marketing) tetapi ia merupakan suatu nilai untuk wang yang anda bayar.

Baca di sini: Apakah Maksud Gred Kelikatan Minyak Hitam?