articles
Sembang Minyak (Bhg. 1) - Apakah Maksud Gred SAE untuk Minyak Hitam?
Anda sememangnya akan melihat bermacam-macam jenis label pada botol minyak hitam. Anda mungkin sudah tahu maksud sesetengahnya tetapi ada juga banyak kekeliruan mengenai minyak hitam di kalangan pemilik kenderaan.
Tidak usah risau, kerana kami akan terangkan beberapa fakta penting mengenai subjek ini.
Ingat, kekeliruan atau maklumat yang salah boleh memudaratkan enjin motosikal anda. Akhirnya anda sendiri yang terpaksa mengeluarkan belanja untuk memperbaikki motosikal anda, bukan Tik Tokker yang bagi maklumat salah itu. Jadi, janganlah percaya sebarangan. Sebaliknya, kami merupakan pengedar yang sah untuk minyak SINOPEC di negara ini dan telah mendapatkan pengesahan daripada jurutera-jurutera mereka.
Mari kita mulakan dengan gred SAE minyak hitam.
Apakah maksud SAE?
SAE merupakan singkatan untuk Society of Automotive Engineers (Kesatuan Jurutera Automotif). Merekalah yang merumuskan piawaian bagi gred kelikatan minyak. Oleh itu, anda dapat melihat tulisan SAE 5W-40, SAE 10W-40 dan sebagainya pada botol minyak.
Ada pembuat minyak enjin yang tidak meletakkan istilah "SAE" di hadapan gred produk mereka. Apapun, gred kelikatan sesuatu minyak hitam sudah sememangnya berpandukan kepada piawaian SAE. Anda boleh lawati laman sesawang pembuat minyak dan mencari spesifikasi sesuatu minyak jika anda was-was.
Apakah maksud gred kelikatan?
Gred kelikatan minyak pula merupakan sukatan betapa cair atau pekat sesuatu minyak enjin. Secara saintifiknya, ia bermaksud rintangan dalam sesuatu cecair untuk mengalir.
Seperti yang kita sedia tahu, cecair yang lebih cair lebih senang mengalir, dan sebaliknya, cecair yang lebih pekat (likat) lebih susah mengalir. Keadaan ini sama buat minyak enjin.
Kelikatan cecair dan minyak dipengaruhi oleh haba. Haba yang lebih tinggi membuatkannya lebih cair. Jadi, gred kelikatan minyak diuji dengan memanaskan minyak tersebut ke 100 darjah Celcius dan dipam melalui satu paip dan mengalir ke dalam sebuah bekas. Isipadu bekas itu dibandingkan dengan suatu graf dan ini memberikan gred kelikatan minyak tersebut.
Bagaimana pula mengenai abjad "W" pada gred kelikatan?
"W" bermaksud "winter" iaitu musim sejuk. Bukan "water" (air), bukan "wear" (kehausan), dan BUKAN SUHU DIDIH seperti yang diperkatakan oleh seorang Tik Tokker timbang kilo.
"W" bermaksud gred musim sejuk minyak tersebut. Seperti yang kita tahu kelikatan minyak dipengaruhi oleh haba, ia akan menjadi makin pekat apabila suhu mula turun. Oleh itu, jurutera minyak menggunakan bahan tambahan (additives) untuk membuatkan minyak tersebut tidak membeku walaupun persekitaran enjin telah membeku menjadi ais.
Apabila minyak itu tidak membeku, enjin masih boleh dihidupkan dan minyak itu cepat mencair untuk memberikan perlindungan kepada enjin.
Oleh kerana gred "W" itu gred "winter," ia TIADA KAITAN LANGSUNG dengan cuaca di Malaysia, kerana kita tidak pernah ada suhu yang sampai ke tahap salji dan membeku. Jika minyak yang kita pilih ialah SAE 10W-40, gred kelikatan minyak itu pada 26 darjah Celsius ketika kita menghidupkan enjin ketika hendak pergi kerja ialah... SAE 40. Bukan 10.
Kita akan bincangkan lagi mengenai gred "W" ini di rencana yang selanjutnya.
Gred apakah patut saya guna?
Kami syorkan anda mengikuti apa yang disarankan oleh pembuat kenderaan anda.
Sebagai kebiasaan, pembuat motosikal Jepun akan menyarankan minyak di antara 10W-30 atau 10W-40 (ingat, nombor yang diikuti oleh abjad "W" tidak perlu dihiraukan), khususnya bagi enjin yang berkapasiti kecil ke pertengahan. Ini kerana suhu operasi enjin motosikal Jepun kebiasaanya berada di tahap 65 darjah Celsius.
Pembuat motosikal Eropah pula mengesyorkan gred kelikatan 10W-50 atau 15W-50 dan ke atas kerana suhu operasi enjin mereka sering bermula daripada 80 hingga 90 darjah Celsius.
Apapun, anda boleh juga guna kelikatan yang lebih tinggi khususnya ketika cuaca amat panas, atau anda sering bergerak di dalam kesesakan lalulintas, ataupun berjalan jauh (touring) kerana minyak yang lebih likat tahan lebih lama secara amnya. Hanya, enjin akan terasa lebih "berat" jika anda gunakan minyak yang lebih likat.