Posted by Gomoto Media

Salah satu mitos mengenai minyak hitam yang tidak hilang-hilang ialah "Semua minyak hitam sama sahaja." Maaflah, jika begitu kenapakah tak gunakan minyak hitam enjin jet untuk enjin motosikal sahaja? Atau minyak enjin kapal laut?

Minyak pelincir memang sama pada dahulu kala sebelum Perang Dunia Kedua (1939 ke 1945) tetapi teknologi minyak pelincir telah berkembang pesat sejak itu dan hasilnya ialah minyak-minyak yang dikhususkan bagi setiap kegunaan, termasuklah bagi kenderaan yang berbeza kerana setiap kategori mempunyai cara operasi atau julat operasi yang berbeza.

Enjin kereta vs. enjin motosikal

Walaupun kedua-dua jenis jentera ini menggunakan enjin pembakaran dalaman (internal combustion enjin), yang berasaskan pergerakan piston untuk menghasilkan kuasa, perbezaannya terletak pada sistem kotak gear dan klac kedua-dua jenis kenderaan.

Enjin kereta

  • Untuk kereta transmisi manual, kotak gear berasingan daripada klac. Jadi ada 3 bahagian yang berasingan iaitu enjin, kotak gear dan klac.
  • Dalam kereta dengan transmisi automatik, kotak gear dengan klac berada di dalam satu unit. Oleh itu, terdapat enjin tetapi diasingkan daripada kotak gear.
  • Oleh sebab ini, minyak enjin kereta digunakan untuk pelinciran bahagian enjin sahaja dan tidak dikongsi oleh kotak gear dan klac.
  • Selain itu, secara amnya, titik merah kelajuan enjin kereta (RPM maksimum) hanya mencapai 8,000 RPM.
  • Justeru minyak hitam enjin kereta boleh diformulasi untuk memberikan pelinciran tambahan dengan bahan campuran (additive) penjimatan tenaga (energy conserving). Minyak hitam jenis ini ialah untuk menjimatkan penggunaan bahanapi.
Enjin motosikal (manual)

  • Struktur enjin motosikal pula berlainan kerana enjin, kotak gear, dan klac disambung sekali.
  • Ia bermaksud minyak hitamnya dikongsi oleh enjin, kotak gear, dan klac.
  • Kerana inilah minyak hitam motosikal hendaklah menahan haba serta daya yang tinggi di kawasan piston, tetapi pada masa yang sama, tahan daya ricihan (pemotongan) di dalam kotak gear, DAN membenarkan plet-plet klac bergeser dan mencengkam.
  • Minyak hitam motosikal tidak boleh diformulasikan untuk jimat tenaga kerana ia akan diricihkan oleh gear-gear di dalam kotak gear, serta menyebabkan kegelinciran plet klac.
  • Oleh demikian, minyak hitam motosikal untuk transmisi manual mestilah mendapatkan kelulusan piawaian JASO T903:1998, JASOT903:2011 dan yang terbaharu, JASO T903:2016. Jadi, anda boleh lihat kod MA, MA1 atau MA2 pada minyak yang khusus untuk motosikal dengan transmisi manual.
  • Selain itu, enjin motosikal sering mencapai RPM maksimum 10,000 RPM ke atas. Sesuatu minyak hendaklah menahan daya emparan dan daya ricihan pada RPM tinggi.
  • Sebab-sebab inilah kenapa minyak motosikal lebih mahal daripada minyak kereta!
Enjin skuter/klac kering

  • Enjin skuter yang menggunakan CVT tiada kotak gear dan klac jadi ia tidak perlukan minyak berpiawaian JASO MA, MA1 atau MA2.
  • Sebaliknya, minyak skuter berpiawaian JASO MB.
  • Tetapi, enjin skuter boleh gunakan minyak JASO MA, MA1, MA2, namun lebih baik gunakan minyak JASO MB sahaja.
  • Enjin motosikal TIDAK boleh gunakan minyak JASO MB kerana akan kegelinciran klac.

Kesimpulan

Jika anda pernah gunakan minyak enjin kereta dalam enjin motosikal anda atau mengenali kawan yang berbuat demikian, enjin motosikal anda rasa sangat lancar. Budak-budak moto selalu kata "semut-semut." Ia begitu kerana seperti yang kita katakan di atas, minyak kereta mempunyai bahan tambahan untuk membuat minyak itu selicin yang boleh.

Namun, klac motosikal akan haus dan gear-gear di dalam kotak gear juga akan termakan. Dan akhirnya, makin susah untuk menukar gear dan motosikal kehilangan kuasa walaupun throttle diperah habis-habisan.

Akhir kata, kami berharap anda jangan sesekali menggunakan minyak enjin kereta di dalam enjin motosikal anda.