articles
Sembang Minyak Hitam (Bhg. 5) - Apakah Maksud "W" untuk Gred Minyak Enjin?
Baru-baru ini seorang TikTokker yang "agak terkenal" membuat suatu ciapan mengenai "pengetahuan asas mengenai minyak hitam." Usahanya memang bagus tetapi video itu dipenuhi dengan kesilapan. Salah satunya ialah mengenai huruf "W" pada gred kelikatan minyak enjin di mana dia berkata itu, "Suhu mendidih minyak hitam."
Bro, nak kongsi maklumat tu bagus, tapi biarlah betul sebab nanti orang lain dapat info salah tu awak tanggungjawab tak?
Permulaan huruf "W" untuk minyak enjin
Bayangkan anda bermastautin ke negara yang mempunyai empat musim. Apabila tibanya musim salji, semua benda menjadi beku.
Pada suatu masa dahulu, anda terpaksa menggunakan minyak yang lebih likat seperti SAE 40 atau SAE 50 ketika musim panas (suhu boleh mencecah 40 darjah Celsius atau lebih). Jika tidak minyak itu akan menjadi terlalu cair apabila panas.
Tetapi, minyak itu membeku pula pada musim salji, jadi anda terpaksa tukarkannya kepada minyak yang lebih cair seperti SAE 5 atau SAE 10 agar ia tidak membeku di dalam enjin. Namun, minyak itu boleh jadi terlalu cair apabila enjin sudah berada di suhu operasinya. Gambar di bawah menunjukkan minyak enjin yang telah membeku. Ya, ia kelihatan seperti jeli. Suhu di luar ketika ini berada pada -30 darjah Celsius.
Minyak jenis ini dipanggil minyak gred kelikatan tunggal (single viscosity grade oil). Okey, kita parking maklumat ini dahulu.
Jurutera minyak memang pandai-pandai belaka
Jadi, jurutera minyak pun berfikir... "Bolehkan kita rumuskan suatu minyak yang tidak membeku ketika musim salji tetapi tidak menjadi terlalu cair apabila panas?"
Akhirnya mereka menjumpai bahan tambahan (additive) yang membolehkan minyak enjin berciri sebegitu. Maka terlahirlah minyak gred kelikatan berganda (multigrade oil) atau seperti yang kita kenali sebagai contohnya SAE 10W-40, SAE 15W-50, dll.
Jadi, "W" bermaksud musim salji?
Ya betul, "W" bermaksud musim salji (winter), dan nombor yang di depan huruf "W" merupakan gred musim salji minyak tersebut. Justeru, 10W bermaksud "minyak ini mempunyai gred kelikatan musim salji SAE 10."
BUKAN TAHAP DIDIH MINYAK, Abang oih!
Oleh yang demikian, gred SAE yang bernombor dan huruf W tidak berkenaan langsung dengan cuaca di Malaysia. Kami ulam... eh.. ulang, TIDAK BERKENAAN LANGSUNG.
Kenapa tidak berkenaan dengan cuaca Malaysia?
Kerana cuaca di sini tidak ada musim salji di mana suhu akan daripada 0 darjah Celsius dan ke bawah seperti -10 darjah Celsius dan sebagainya.
Gred kelikatan yang berkenaan bagi kita ialah angka yang kedua dalam turutan ini: 10W-40. Nombor yang kedua ini merupakan "summer grade" (gred musim panas) kerana cuaca kita berada di sekitar 30 darjah Celsius.
Betul, enjin lebih sejuk jika kita berada di tempat-tempat tanah tinggi seperti Genting Highland dan Cameron Highland di mana suhu boleh turun sehingga 15 darjah Celsius. Walapun begitu, hakikatnya tetap sama: Suhu di sana tidak cukup untuk membeku. Jadi, penggunaan minyak enjin yang ada angka W yang lebih kecil (seperti 0W atau 5W) tidak memberikan apa-apa faedah kerana enjin akan cepat sampai suhu operasi di negara kita (serta di rantau ini).
Jadi kenapa minyak yang untuk musim sejuk masih dijual di sini?
Ini kerana produk tersebut juga dijual di negara-negara lain, termasuk di mana terdapat musim salji.
Tetapi bukankah cecair yang lebih cair lebih cepat membeku?
Ini suatu soalan yang bernas. Memang betul sesuatu cecair yang lebih cair lebih cepat membeku berbanding dengan cecair yang lebih pekat.
Tetapi ingat, minyak enjin bukan minyak semata-mata tetapi terdapat campuran bahan tambahan (additives). Bahan tambahan inilah yang akan memberikan ciri-ciri anti-pembekuan ketika musim sejuk. Dan sebab bahan tambahan inilah kita dapat minyak multigrade.
Penutup
Harap anda mendapat sedikit sebanyak info yang berguna di sini. Kami mengalu-ngalukan kunjungan anda ke page ini untuk artikel-artikel terkini. Penulis ini pun tidak akan berada di sini untuk berkongsi pengalaman bermotosikal selama 40 tahun bersama anda tidak lama lagi.