Posted by Gomoto Media

Kita sering dengar pelumba motosikal yang merungut mengenai suspensi motosikal mereka. Ada juga pemilik motosikal yang turut mencari jalan untuk menyelesaikan "masalah suspensi" motosikal mereka. Tetapi soalan utamanya ialah: Apakah fungsi suspensi motosikal?

Sebelum kita berbuat apa-apa, adalah lebih baik jika kita kenali suspensi motosikal kita dengan lebih dekat lagi agar kita tahu apa yang harus dibuat dan tidak payah membazir tenaga, masa dan wang untuk mencari suatu solusi.

Kita mulakan siri ini dengan mengetahui tugas suspensi motosikal terdahulu.

Tugas suspensi

1. Mengekalkan cengkaman tayar dengan jalan.

Inilah tugas utama sistem suspensi sesebuah motosikal. Tanpa suspensi, tayar akan meloncat-loncat di atas bonggolan jalan samada kecil atau besar. Sasaran ini akan menyebabkan tayar tidak dapat menyentuh permukaan jalan dengan sempurna justeru tayar kehilangan cengkaman.

2. Menyerap hentakan

Hentakan daripada jalan atau bonggol wajib diserap. Jika tidak, daya hentakan itu akan dialihkan terus kepada kerangka motosikal dan penunggang. Istilah teknikalnya ialah "compression damping" (redaman mampatan) bermaksud spring di dalam suspensi itu dimampat.

3. Menekan roda ke atas jalan

Roda dan tayar mestilah kembali ke bawah setelah suspensi menyerap hentakan. Oleh itu, suspensi itu mestilah menolak roda ke bawah semula, iaitu spring yang termampat tadi mengembang kembali. Istilah teknikalnya ialah "rebound damping" (redaman lantunan).

4. Menyokong beban

Suspensi juga menyokong beban yang dikenakan di atasnya iaitu berat motosikal bersama penunggang dan apa-apa yang dibawanya. Muatan yang dibawa akan dikurangkan jika motosikal itu tidak menggunakan suspensi kerana segala beban harus ditanggung oleh frem motosikal.