Posted by Gomoto Media

Minyak hitam memainkan beberapa peranan yang amat penting di dalam enjin motosikal anda dan enjin anda tidak akan berfungsi dengan ketiadaan minyak hitam.

Jadi, kita huraikan 5 fungsi utama minyak hitam.

1. Mengurangkan geseran

Ini merupakan peranan yang diketahui umum. Selaput minyak hitam sebenarnya menjadi pemisah antara dua permukaan yang bergerak agar mereka tidak bergeser. Geseran akan menyebabkan peningkatan haba yang mendadakdan menghakis komponen-komponen tersebut. Haba akibat eseran inilah yang membuatkan piston "jem".

Sesebuah enjin mempunyai banyak komponen lain yang turut bergerak seperti aci sesondol (camshaft), aci engkol (crankshaft), gear-gear di dalam kotak gear, dan lain-lain. Kesemua ini memerlukan pelinciran.

2. Penyejukan

Tidak kira samada enjin motosikal anda menggunakan penyejukan cecair mahupun penyejukan udara, minyak hitam turut menyejukkan enjin anda daripada haba hasil pembakaran bahanapi.

Udara atau cecair hanya dapat menyejukkan bahagian blok enjin dan tidak dapat berbuat demikian bagi komponen-komponen lain seperti gear-gear, aci engkol, tren injap, klac dan sebagainya.

Ada juga enjin motosikal yang menggunakan jet minyak yang memancut minyak ke bawah piston bagi menyejukkannya.

3. Pembersihan

Pembakaran bahanapi menghasilkan beberapa bahan buangan seperti karbon dan sulfida. Bahan-bahan ini akan berkumpul pada dinding silinder dan minyak hitamlah yang akan mengalirkan mereka ke dalam takungan minyak. Inilah antara sebab kenapa minyak hitam bertukar kepada warna yang lebih gelap kelak.

4. Mencegah karat

Bayangkan kita ada sepasang playar baharu yang kita simpan di dalam kotak perkakas. Lama-kelamaan, permukaannya menjadi karat. Sebaliknya ia tidak menjadi begitu jika kita sapukan minyak padanya dari peringkat awal.

Minyak hitam juga memainkan peranan ini di dalam enjin.

5. Penutup ruang

Setiap komponen mempunyai ruang yang halus di antara mereka tetapi yang paling penting ialah ruang di antara gegelang piston dan permukaan silinder. Ruang ini akan membiarkan gas hasil pembakaran bahanapi melepasi mereka dan turun ke dalam kotak engkol, justeru enjin kehilangan kuasa.

Minyak hitamlah yang menjadi penebat ruang ini. Minyak yang baik hendaklah menahan tekanan dan haba yang ekstrim ini.

BONUS
6. Menyejukkan klac dan memastikan ia bergeser

Fungsi ini khususnya bagi motosikal yang menggunakan klac basah. Tujuan klac yang dibasahi oleh minyak ialah bagi menyejukkan plat klac agar ia tahan lebih lama.

Eh, eh, tapi bukankah minyak ini melincirkan tetapi boleh pula memastikan plat klac bergeser dan melekat? Ya, ini betul. Minyak hitam motosikal yang telah lulus piawaian JASO MA atau JASO MA2 perlu memastikan bahawa plat klac boleh melekat bagi memindahkan kuasa enjin ke kotak gear.

Sebab inilah minyak untuk enjin motosikal berlainan daripada minyak untuk enjin kereta! Sebab inilah kami sarankan anda TIDAK menggunakan minyak enjin kereta di dalam enjin motosikal anda kerana ia akan menyebabkan kegelinciran klac. Klac anda akan haus dengan cepat. Dan sebab inilah kenapa enjin terasa lebih lancar apabila menggunakan minyak hitam kereta kerana klac tidak melekat!!!