Posted by Gomoto Media

Syarikat RK Takasago Chain mengambil bahagian di dalam sukan permotoran di dalam hampir semua kelas perlumbaan secara intensif. Penglibatan ini ialah bagi menghasilkan produk yang lebih baik bukan sekadar bagi para pelumba tetapi juga untuk pelanggan. Oleh yang demikian, banyak produk RK Takasago Chains yang digunakan di dalam perlumbaan juga boleh dibeli di pasaran bebas.

 

Seperti yang kami wartakan sebelum ini, RK Takasago Chain juga memainkan peranan yang besar di dalam sukan permotoran tanahair, termasuk di dalam Kejuaraan PETRONAS Malaysian CubPrix dan Kejuaraan Malaysian Superbike. Hampir kesemua pasukan menggunakan produk RK, samada ditaja mahupun membeli sendiri.

 

Oleh yang demikian, Two Wheels Racing, sebagai penganjur CubPrix, membawa beberapa orang penunggang CubPrix ke kilang RK Takasago Chain di Perai, Pulau Pinang untuk membuat lawatan sambil belajar rasmi pada 1 Disember 2022.

Acara dimulakan dengan satu persembahan ringkas bagaimana rantai RK dipasang dengan menggunakan sebuah model rantai. Penunggang-penunggang itu kemudiannya dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan ketua kumpulan masing-masing dikehendakki memasang semula model itu dengan secepat mungkin.

 

Selepas itu, penunggang-penunggang itu dibawa ke kilang sproket RK. Rombongan diiringi oleh jurutera-jurutera kilang yang turut menerangkan setiap proses pembuatan sproket depan dan belakang, bermula daripada plat keluli yang besar sehinggalah sproket itu siap dan dibungkuskan untuk jualan.

 

Setelah itu, rombongan melintasi jalan di hadapan kilang sproket ini untuk ke kilang rantai pula. Mereka dapat melihat dengan sendiri bagaimana rantai yang mereka telah gunakan ketika berlumba dihasilkan daripada kepingan-kepingan logam serta getah yang akhirnya menjadi bahagian-bahagian seperti plet tepi, pin, penggelek, busing.

 

Antara proses terakhir yang paling penting ialah di mana rantai-rantai digris di dalam alat-alat seperti pemasak bertekanan tinggi (pressure cooker).

 

Akhir sekali, Pengarah Pengurusan RK Takasago Chain, Dato’ Lee Thian Chai mengagihkan beg barangan kepada penunggang-penunggang yang hadir sebelum acara bersurai.