Posted by Gomoto Media

Minyak brek atau lebih tepat, bendalir brek (brake fluid) merupakan "darah" di dalam sistem brek.

Namun, ia merupakan antara barang gunaan yang paling diabaikan. Ini kerana penurunan prestasi brek terjadi secara beransur-ansur dan sistem brek, khususnya piston dalam kaliper yang dapat melaras diri untuk lebih dekat kepada cakera brek mengikut ketebalan pad brek. Oleh itu, kita merasakan seperti brek kita berfungsi secara normal...

Apa yang akan terjadi jika saya tidak tukar bendalir brek langsung?

1. Jarak membrek akan jadi lebih jauh

Walaupun kita rasakan seperti tiada pengurang prestasi membrek, kita sebenarnya memerlukan jarak yang lebih jauh. Kita mungkin tidak perasan tetapi ia akan menjadi nyata apabila kita membrek secara mengejut.

2. Tuil brek rasa "lembut"

Tuil brek akan terasa seperti "lembut" apabila kita membrek dengan lama atau lebih kerap, khususnya di dalam bandar atau ketika menuruni cerun yang curam seperti daripada Genting Highland atau Cameron Highlands.

3. Kehilangan brek atau brek melekat

Dalam kes yang ekstrim, bendalir brek akan membentuk gam. Cebisan ini boleh tersumbat di dalam lubang-lubang halus di dalam sistem brek dan tidak membenarkan bendalir brek untuk mengalir dan ini menyebabkan brek motosikal tidak berfungsi.

Ia juga boleh tersumbat dan tidak membenarkan bendalir brek mengalir semula ke pam brek. Jadi, maksudnya brek kekal melekat!

Ada juga kes di mana cebisan-cebisan ini tersumbat di dalam pam ABS dan merosakkannya. (Harga pam ABS mahal nak "mamp" taw...)

Kenapa terjadi begitu?

Bendalir brek sebenarnya diperbuat daripada glycol. Ia merupakan cecair yang dapat menyerap haba yang banyak dan melepaskannya kembali dengan cepat. Tetapi masalahnya glycol ini gemar kepada air dan dapat menarik wap air daripada udara sekeliling. Wap air ini kemudiannya tercampur di dalam bendalir brek itu.

Bendalir brek DOT 4 yang baharu dan tiada wap air di dalamnya mempunyai tahap didih sekitar 260 darjah Celsius. Ini dikenali sebagai tahap didih "kering" sesuatu bendalir brek.

Tetapi air mendidih pada 100 darjah Celsius. Justeru tahap didih untuk bendalir brek akan menjadi rendah apabila terdapat wap air di dalamnya. Bagi mendapatkan piaiwaian DOT 4, tahap didih "basah" sesuatu bendalir brek diukur dengan kandungan 3.7% air di dalamnya, sama seperti kegunaan untuk 2 tahun. Tahap didih ini sekarang jatuh ke sekitar 165 darjah Celsius.

Itu baru sahaja 3.7% kandungan wap air, dan tahap didih bendalir brek sudah jatuh sehingga hampir 100 darjah Celsius! Bayangkan berapa banyakah kandungan wap air di dalam bendalir brek yang lama tidak ditukar!

Tambahan lagi, bendalir brek tidak menyerap haba yang lebih tinggi kerana sudah mencapai tahap mendidih terlalu awal, dan ini akan menyebabkan kehilangan tekanan kepada piston brek. Kerana inilah jarak membrek jadi lebih jauh.

Apabila wap air mendidih, gelembung udara akan terbentuk di dalam paip brek. Ini akan menyebabkan tekanan brek tidak sampai ke piston kaliper brek. Oleh itu, tuil brek terasa lembut.

Jadi, berapa kerapkah saya kena tukar bendalir brek saya?

Setiap 2 tahun, tidak kira berapa jarak yang anda telah bergerak, mahupun jika bendalir brek masih kelihatan "cantik." Perihal ini ada tertera di dalam panduan pengguna motosikal anda.

Bendalir brek gred apa yang harus saya pakai?

Kita akan cerita panjang lebar mengenai ini di dalam bahagian depan, jadi jangan ketinggalan.